Rider penghantar makanan bantu tangkap suspek ragut di Melaka

Sekumpulan rider penghantar makanan di Melaka bertindak pantas membantu menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes ragut, dalam kejadian yang tular menerusi video berdurasi 47 saat di media sosial.
Dalam video tersebut, beberapa rider dilihat mengejar suspek sebelum menjatuhkannya ke tanah dan menahannya sehingga pihak polis tiba.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkifli Mukhtar berkata, suspek didakwa meragut barang milik seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun yang sedang berjalan ke arah keretanya di kawasan parkir sebuah pasar raya.
“Suspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan oleh beberapa rider penghantar makanan yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Susulan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes ragut yang dilaporkan di Melaka Tengah sejak awal tahun ini. Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan turut didapati positif dadah jenis nimetazepam.
Antara barangan yang dirampas termasuk dua telefon bimbit, sebuah motosikal Yamaha Y15, kad bank, kad pengenalan, beberapa kunci dan wang tunai RM107.
Suspek kini direman selama enam hari sehingga 29 April untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun.