RM100 Juta Diperuntukkan untuk Perkasa Usahawan India – R Ramanan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, mengumumkan peruntukan RM100 juta melalui TEKUN Nasional bagi memperkukuh ekonomi komuniti India dalam sidang media khas sempena sambutan Ponggal di Sungai Buloh.
Sebanyak RM50 juta akan disalurkan melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), manakala RM50 juta lagi menerusi SPUMI Goes Big. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 5,000 usahawan India bagi mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi mencabar.
Ramanan memaklumkan, TEKUN telah meningkatkan dana daripada RM30 juta kepada RM100 juta menggunakan dana dalaman, menjadikan ini peruntukan terbesar untuk komuniti India sejak 2008.
Melalui SPUMI, pembiayaan sebanyak RM1,000 hingga RM50,000 ditawarkan, manakala SPUMI Goes Big menyediakan dana RM50,000 hingga RM100,000 dengan tempoh kelulusan kurang daripada 14 hari. Permohonan dibuka mulai semalam di laman sesawang TEKUN atau pejabat terdekat.
Ramanan menyeru penerima pembiayaan membuat pembayaran balik secara teratur untuk memastikan lebih ramai usahawan dapat dibantu pada masa depan.