Malaysia

RM100 one-off, cuti umum & harga RON95 turun jadi hadiah bermakna

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan enam inisiatif utama sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia, merangkumi bantuan kewangan, pengurangan harga petrol, dan cuti umum tambahan.

Pengumuman itu dibuat menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia, sebagai usaha mengukuhkan perpaduan serta memberi kelegaan kepada rakyat dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.

Anwar berkata kerajaan akan memberi RM100 secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos 2025 yang mana ia akan dikreditkan terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di lebih 4,000 premis peruncit terpilih sehingga akhir tahun ini.

Beliau turut mengisytiharkan Isnin, 15 September 2025 sebagai cuti umum tambahan sempena sambutan Hari Malaysia. Katanya, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada rakyat untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga, sekali gus menyemarakkan semangat kenegaraan.

Dalam pada itu, Anwar mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM2.00 seliter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api. Menurutnya, pendekatan ini penting bagi memastikan subsidi tidak lagi dinikmati oleh golongan berada, termasuk pemilik kenderaan mewah.

Kerajaan turut menambah peruntukan bagi program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta, sekali gus memperluaskan pelaksanaannya ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Langkah ini dijangka menambah baik akses rakyat kepada barangan asas pada harga berpatutan.

Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan meneruskan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya yang sepatutnya berkuat kuasa tahun ini. Tindakan itu melibatkan kos lebih RM500 juta yang akan ditanggung oleh kerajaan demi menjaga kebajikan pengguna jalan raya.

Dalam aspek keperluan asas lain, Perdana Menteri menjelaskan bahawa penstrukturan subsidi elektrik yang dimulakan sejak Julai lalu telah menyaksikan penurunan bil elektrik bagi 85 peratus pengguna domestik. Penurunan tersebut mencecah sehingga 14 peratus dan sekaligus menepis dakwaan kononnya kerajaan menaikkan tarif elektrik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker