RM611 bilion diperlukan bagi menjayakan RMK13 – Anwar

Kerajaan menetapkan pelaburan besar bernilai RM611 bilion bagi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selaras dengan aspirasi membentuk negara maju berteraskan nilai MADANI menjelang 2030.
Daripada jumlah tersebut, RM430 bilion akan dibiayai Kerajaan melalui peruntukan pembangunan, manakala selebihnya disumbang oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC) sebanyak RM120 bilion serta pelaburan swasta melalui model perkongsian awam-swasta (PPP) sebanyak RM61 bilion.
Fokus utama peruntukan ini adalah kepada sektor ekonomi yang akan menerima RM227 bilion, menjadikannya tunjang utama dalam merancakkan pertumbuhan negara.
Dalam masa yang sama, sektor sosial turut diberi perhatian dengan RM133 bilion diperuntukkan, RM67 bilion untuk pendidikan dan RM39 bilion untuk kesihatan bagi memastikan kebajikan dan pembangunan insan terus terpelihara.
Selain itu, RM51 bilion akan disalurkan kepada sektor keselamatan bagi memperkukuh pertahanan dan ketenteraman awam, manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion bagi mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Melalui pendekatan inklusif ini, Kerajaan menyasarkan untuk bukan sahaja membina kekuatan ekonomi dan inovasi teknologi, malah melahirkan masyarakat bersatu, berbudaya saling menghormati serta memiliki jati diri kukuh.