Malaysia

RMK-13: Fokus hadapi negara menua seiring penuhi keperluan generasi muda

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) harus membawa pendekatan luar biasa dan menyeluruh, memandangkan negara kini memasuki suku terakhir sebelum mencapai satu abad kemerdekaan.

Menurut penganalisis politik dan perunding media, Dr G Manimaran, perancangan kali ini perlu lebih mencabar dan berbeza untuk menyesuaikan diri dengan perubahan demografi serta harapan generasi muda.

“RMK13 bukan sahaja perlu menambah baik kualiti kehidupan rakyat, malah perlu menjawab persoalan utama generasi muda terutama dalam aspek pendidikan, pekerjaan dan pendapatan. Ini penting bagi mencerminkan semangat Malaysia pasca Undi18, di mana suara anak muda kini sudah menjadi sebahagian daripada landskap politik negara,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa perancangan pembangunan negara tidak boleh lagi bersifat fizikal semata-mata, sebaliknya harus melibatkan aspek emosi, sosial dan kesejahteraan jiwa rakyat. Fokus besar perlu diberikan kepada isu penuaan penduduk atau “ageing society”, di mana sebahagian besar rakyat bakal bersara dalam masa terdekat.

“Adakah mereka cukup bersedia? Cukupkah pendapatan untuk kehidupan selepas bersara? Kita perlu dasar yang menyokong kehidupan warga emas yang sihat, aktif dan bermaruah. Siapa yang sediakan aktiviti mingguan untuk mereka? Siapa yang jaga kesejahteraan mereka secara menyeluruh?” soalnya.

Dengan jangka hayat rakyat Malaysia kini melebihi 76 tahun dan ramai hidup hingga 80 tahun, perancangan RMK13 perlu menjawab cabaran realiti ini.

Ketiadaan jaringan sokongan sosial yang kukuh boleh mengundang tragedi seperti kes warga emas yang meninggal dunia bersendirian tanpa disedari selama bertahun-tahun.

Jelasnya, RMK13 perlu menjadi pelan pembangunan yang bukan sahaja mencorak pertumbuhan ekonomi dan pelaburan, tetapi turut mengutamakan nilai kemanusiaan, keprihatinan sosial serta kesejahteraan jangka panjang seluruh rakyat Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker