RMK-13: Tiba masanya pendidikan politik diperkenalkan – Dr G Manimaran

Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan pendidikan politik secara rasmi sebagai sebahagian daripada dasar negara khususnya menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Keperluan ini dilihat penting bukan hanya untuk membentuk ahli politik yang berintegriti, tetapi juga memastikan rakyat memahami peranan mereka dalam sistem demokrasi.
Penganalisis politik Dr G. Manimaran berpandangan, ramai rakyat kini sudah mula menyuarakan keperluan kepada pendidikan politik satu isyarat jelas kekecewaan mereka terhadap tahap kepimpinan semasa.
Ia bukan sekadar tertumpu kepada wakil rakyat, tetapi juga kepada ahli politik di peringkat akar umbi dan pertengahan yang perlu dilatih dengan kefahaman tatakelola, integriti dan profesionalisme.
Beliau mencadangkan agar RMK-13 memperuntukkan satu bab khusus berkaitan politik, sebagaimana bab integriti yang diperkenalkan dalam RMK-11 dan RMK-12 sebelum ini.
Ini termasuk memperkukuh kod amalan politik, memperkemas undang-undang susulan penurunan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun serta merangka reformasi menyeluruh dalam sistem kepartian.
Dr Manimaran turut menggesa agar rakyat tidak menyerahkan tanggungjawab penggubalan dasar sepenuhnya kepada ahli politik atau Parlimen semata-mata.
Sebaliknya, rakyat harus aktif memberikan pandangan memantau pelaksanaan dasar serta menyedari bahawa tanggungjawab demokrasi tidak berakhir di peti undi.