RMK13: Pelan tingkatkan status ekonomi komuniti India, selari agenda MADANI – Ramanan

Komuniti India bakal menerima manfaat secara langsung menerusi beberapa strategi utama yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selari dengan agenda ekonomi MADANI.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, perancangan ini bertujuan meningkatkan status sosioekonomi masyarakat India berpendapatan rendah di Malaysia.
Antara keutamaan yang diberikan termasuk memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta pembangunan bakat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai laluan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi.
Aktiviti ekonomi dan keusahawanan turut diberi penekanan, dengan sokongan yang lebih menyeluruh terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) India.
Selaras dengan perkembangan semasa, inisiatif untuk memacu penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) juga diterapkan bagi memastikan penyampaian program yang lebih tepat sasaran dan berimpak tinggi.
Beberapa program sedia ada seperti Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) akan diteruskan, merangkumi bidang pendidikan, keusahawanan dan kebajikan sosial.
Selain itu, satu program pembangunan fizikal baharu akan diperkenalkan untuk kampung-kampung India, manakala pembaharuan dalam sektor francais akan dilaksanakan bagi mengurangkan birokrasi serta menggalakkan penglibatan komuniti India dalam sektor bernilai tinggi.