Dunia

Ronaldo dikecam kerana pilih percutian mewah atas kapal persiaran berbanding hadiri pengebumian Diogo Jota

Ronaldo dikecam kerana pilih percutian mewah atas kapal persiaran berbanding hadiri pengebumian Diogo Jota

Lisbon, 6 Julai –
Keputusan Cristiano Ronaldo untuk tidak menghadiri upacara pengebumian pemain bola sepak Portugal dan Liverpool, Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya, mencetuskan kekecewaan dan kemarahan dalam kalangan rakyat serta media Portugal.

Ramai rakan sepasukan dari skuad kebangsaan Portugal, pemain Liverpool, termasuk sahabat karib Jota dan kapten Manchester United Bruno Fernandes, hadir memberikan penghormatan terakhir.

Malah, Joao Cancelo dan Ruben Neves yang berada di Amerika Syarikat untuk kejohanan Piala Kelab Dunia turut pulang untuk menghadiri majlis tersebut.

Namun, Ronaldo – kapten pasukan kebangsaan – tidak kelihatan. Ketiadaannya menimbulkan tanda tanya besar dan menjadi perbualan hangat media serta peminat bola sepak Portugal.

Penganalisis dan wartawan sukan mempersoalkan tindakan Ronaldo yang dianggap wajib hadir sebagai kapten pasukan. “Apa pun alasannya, amat sukar untuk mempertahankan keputusan beliau kali ini,” kata seorang pengulas bola sepak terkenal.

Beberapa laporan cuba membela Ronaldo, menyatakan bahawa kehadirannya mungkin mengalihkan perhatian media dan peminat sepenuhnya kepada dirinya, dan demi menghormati suasana duka, beliau memilih untuk tidak hadir.

Difahamkan, Ronaldo telah menyampaikan ucapan takziah dan simpati secara peribadi kepada keluarga Jota.

Namun kontroversi tercetus apabila pada hari sama, gambar-gambar Ronaldo sedang bercuti mewah di atas kapal persiaran di perairan Mediterranean mula tersebar.

Gambar tersebut mengejutkan ramai, dan mencetuskan kritikan hebat di platform media sosial X oleh peminat Portugal yang meluahkan rasa kecewa mereka.

“Jika tidak mahu hadir ke majlis pengebumian sekalipun, beliau sepatutnya elak daripada bercuti secara terbuka. Ini tidak wajar bagi seorang kapten ketika rakan sepasukan maut secara tragik,” antara komen warganet.

Untuk rekod, Diogo Jota yang baru dua minggu mendirikan rumah tangga, meninggal dunia bersama adik lelakinya dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol. Jota berusia 28 tahun.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker