Sakit kepala jadi punca Toyota Hilux rempuh tiga kenderaan di lampu isyarat

Sakit kepala secara tiba-tiba menjadi punca seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda merempuh tiga kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah di Kilometer 19.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Gopeng pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu laju sebelum menghentam bahagian belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios, diikuti Perodua Myvi dan Perodua Axia yang turut berada di hadapan lampu isyarat.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan kerosakan teruk pada kenderaan terlibat, antaranya bonet hadapan dan but kemik, lampu kiri dan kanan pecah, bampar tercabut serta pintu rosak.
Pemandu Hilux dikatakan terus pergi ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis pada Isnin.
Siasatan lanjut kes itu masih diteruskan dan diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan.