Saksi utama kes Guan Eng disamun, bukan diganggu – Polis

Polis mengesahkan insiden yang menimpa saksi utama dalam perbicaraan rasuah Lim Guan Eng sebagai kes samun bersenjata, bukan gangguan berkaitan kes mahkamah yang sedang berjalan.
Mangsa dilaporkan cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjatakan parang memecah masuk rumahnya di Jalan Bukit Gasing awal pagi dan melarikan barangan berharga yang disimpan dalam peti besi.
Suspek juga dipercayai mengikat dua pengawal keselamatan sebelum menyerang mangsa, yang mengalami kecederaan di muka dan tangan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan menggunakan senjata. Suspek melarikan diri melalui kawasan hutan di belakang rumah selepas kejadian.
Pihak pendakwaan dalam kes rasuah Lim memaklumkan akan membangkitkan perkara ini di mahkamah apabila prosiding bersambung pada 19 Ogos.
Lim berdepan tuduhan menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, termasuk menerima rasuah dan pecah amanah melibatkan projek terowong dasar laut serta tanah kerajaan bernilai ratusan juta ringgit.