Sambutan Songkran di 1 Utama kecoh akibat pergaduhan

Polis sedang menyiasat insiden pergaduhan yang berlaku di kawasan tempat letak kereta luar pusat beli-belah 1 Utama semasa sambutan Songkran baru-baru ini, selepas video kejadian tular di media sosial.
Memetik laporan Malay Mail, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’far memaklumkan, setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut.
Namun begitu, beliau telah mengarahkan Ketua Balai Polis Damansara untuk membuat laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Menerusi video yang tular semalam, beberapa kumpulan peserta dilihat bertelagah sesama sendiri semasa acara Songkran Festival 2025, termasuk membaling kerusi plastik dan penghadang, serta ada yang menggunakan objek sebagai senjata.
Beberapa individu turut dirakam menyerang antara satu sama lain.