Sathiya lega tidak perlu potong lagi dua jari kaki

Pelawak veteran Sathiya atau nama sebenarnya Sathia Periasamy, 61, menarik nafas lega apabila hanya satu jari kakinya terpaksa dipotong selepas menjalani rawatan di Hospital Ampang, bulan lalu.
Prosedur pada 31 Julai itu melibatkan ibu jari kaki kiri, manakala dua lagi jari yang sebelum ini dijangka perlu dipotong berjaya diselamatkan hasil rawatan lanjut.
Kedua-duanya kini dirawat dengan ubat bagi mengelakkan jangkitan semula.
Sathiya yang menghidap diabetes dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu pada awalnya dimaklumkan kakinya berisiko dipotong sekiranya kuman merebak.
Bagaimanapun, pemeriksaan susulan minggu lalu membawa khabar gembira apabila doktor mengesahkan keadaan kakinya semakin stabil.
Meskipun diuji dengan masalah kesihatan, pelakon sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu kekal positif, malah semangatnya disokong penuh oleh keluarga terdekat.