Sebanyak 31 kes buli berlaku di lapan universiti awam sejak 2014

Sejumlah 31 kes buli direkodkan di universiti awam dalam tempoh 11 tahun iaitu dari 2014 hingga 2025.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kes dalam bentuk buli fizikal atau buli siber dan tindakan telah diambil di peringkat pengurusan universiti masing-masing.
Katanya, kes juga berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurang pengawasan ibu bapa.
Zambry berkata, dalam konteks UA, pelajar terlibat dalam kes buli boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(ii), Kaedah-kaedah (Tatatertib Pelajar) yang diseragamkan melalui pindaan pada tahun 2024.
Kaedah-kaedah itu memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan dan hukuman boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman.
Hukuman diperuntukkan adalah amaran, khidmat masyarakat mengikut peraturan yang dibuat oleh lembaga yang tidak melebihi 24 jam serta denda tidak melebihi RM500.
Terdapat juga hukuman lain yang memperuntukkan pelaku digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi suatu tempoh atau dibuang daripada universiti.