Sekatan semula perjalanan luar negara dipertimbang jika gagal bayar PTPTN

Kerajaan mempertimbang smeula pelaksanaan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat pembayaran pinjaman.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud berkata, tindakan itu bagi memperkasakan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam PTPTN.
Beliau menjawab soalan tambahan seorang Ahli Dewan Negara sama ada kerajaan akan mengenakan semula sekatan tersebut memandangkan keberkesanan kaedah itu sebelum ini.
Menjawab soalan sama ada kerajaan bercadang menghapuskan terus pinjaman PTPTN, Mustapha berkata, langkah itu tidak adil kepada seramai 1,044,595 peminjam yang telah selesai membayar balik pinjaman mereka.
Bagaimanapun, katanya, bagi golongan B40, Kerajaan Madani membuka ruang sebaik mungkin untuk mereka datang berbincang ke pejabat PTPTN bagi penstrukturan semula pembayaran.
Setakat 31 Disember 2024, seramai 4,108,625 telah diluluskan pinjaman PTPTN dan daripada jumlah tersebut seramai 2,831,742 peminjam patut telah membuat bayaran balik pinjaman.
Jelas beliau, seramai 1,044,595 peminjam telah selesai membayar balik pinjaman mereka, manakala 585,638 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten dan tiada tunggakan bayaran.