Sektor penerbangan terus pulih, hampir sama seperti sebelum COVID-19

Sektor penerbangan negara kekal berada di landasan pemulihan apabila jumlah trafik penumpang mencecah 9.3 juta pada Julai 2025, meningkat 3.9 peratus berbanding bulan sebelumnya dan 5.3 peratus berbanding Julai tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, aliran penumpang antarabangsa terus mendahului domestik, dipacu oleh pembukaan laluan baharu serta insentif visa kepada pelancong China dan India.
Bagi Januari hingga Julai 2025, jumlah penumpang mencapai 61.2 juta, hampir separuh daripada unjuran tahunan 105.8 juta hingga 112.9 juta.
Manakala bagi suku kedua, trafik penumpang melonjak 10.5 peratus kepada 26.5 juta, bersamaan 99.3 peratus daripada tahap pra-pandemik 2019.
Selain itu, kargo udara turut meningkat 11.4 peratus bulan ke bulan kepada 93 juta kilogram, meskipun sedikit rendah berbanding tahun lalu.