Semua bot pelancong di Pulau Perhentian perlu ada lesen sah – Lingeshawaran

Semua bot yang membawa pelancong ke Pulau Perhentian perlu memiliki lesen sah dan mematuhi peraturan keselamatan ketat, tegas Ahli Dewan Negara, Senator Dr. R.A. Lingeshwaran susulan tragedi bot terbalik yang meragut tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak baru-baru ini.
Beliau melahirkan rasa kecewa selepas dimaklumkan keluarga mangsa bahawa penumpang tidak diberikan jaket keselamatan, malah pemandu bot hanya beralasan jarak perjalanan dekat dan jaket tidak diperlukan.
Menurutnya, ini menunjukkan kecuaian serius yang tidak boleh dibiarkan dan beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta memastikan pemandu bot menjalani pemeriksaan kesihatan dan keselamatan secara berkala.
Dalam kejadian Sabtu malam, bot yang membawa 15 penumpang terbalik akibat ombak kuat dan cuaca buruk, mengorbankan Arumugam Sativelo, 40, anaknya Sarrvihka Arumugam, 3, serta saudara mereka Vennpani Vijeya Raj, 10, manakala seorang kanak-kanak enam tahun kritikal.