Serangan India-Pakistan, lapan terkorban dan puluhan cedera

Ketegangan antara India dan Pakistan memuncak susulan serangan udara India yang mengorbankan lapan orang awam dan mencederakan lebih 30 yang lain di beberapa lokasi di Pakistan awal pagi tadi.
Menurut Inter-Services Public Relations (ISPR), serangan itu menyasarkan enam lokasi termasuk Ahmadpur East, Muzaffarabad, Kotli, Muridke dan Sialkot.
Beberapa masjid dan kediaman turut rosak teruk, termasuk Masjid Bilal di Muzaffarabad yang mencederakan seorang kanak-kanak serta Masjid Abbas di Kotli yang meragut nyawa seorang awam.
Jurucakap ISPR, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, mengecam tindakan India sebagai tidak berprovokasi dan menegaskan bahawa Pakistan akan memberi tindak balas tegas terhadap pencerobohan tersebut.
Kerajaan Pakistan telah mengerahkan pasukan kecemasan dan tentera ke kawasan terjejas bagi membantu mangsa dan menilai kerosakan.