Sesi Petang Sekolah Tamat Lebih Awal Sepanjang Ramadan – KPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sesi petang sekolah yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan tamat lebih awal sepanjang bulan Ramadan.
Di Semenanjung Malaysia, sesi petang akan berakhir seawal jam 5.30 petang, manakala di Sabah, Sarawak, dan Labuan, sesi berakhir jam 5 petang. Sesi pagi akan berjalan seperti biasa.
KPM menjelaskan bahawa ketetapan ini bertujuan memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan memberi kemudahan kepada murid serta guru Islam untuk beribadat sepanjang Ramadan.
Dalam kenyataan hari ini, KPM juga menegaskan bahawa pengoperasian sekolah sepanjang Ramadan tetap seperti biasa, mengikut Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022.
Selain itu, KPM mengingatkan semua Pengarah Bahagian, Pengarah Pendidikan Negeri, pengetua, dan guru besar agar mematuhi arahan ini.
KPM turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba mengelirukan masyarakat.