Setiap Jam, 4 Nyawa Warga Palestin Terkorban

Angka kematian di Semenanjung Gaza kini mencecah 54,249 orang, majoritinya wanita dan kanak-kanak, sejak rejim Zionis melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran pada 7 Oktober 2023, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA).
Dalam tempoh 600 hari sejak serangan dimulakan, purata kematian mencecah 90 orang setiap hari. Secara kasarnya, ini bermaksud hampir 4 rakyat Palestin terbunuh setiap jam tanpa henti, siang dan malam.
Lebih menyayat hati, seramai 123,492 orang cedera, sementara ribuan lagi masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Usaha mencari dan menyelamat terus terjejas akibat pengeboman berterusan, menjadikan angka sebenar kemungkinan jauh lebih tinggi daripada yang direkodkan.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu sahaja, sebanyak 67 lagi mangsa terkorban, termasuk tiga mayat yang hanya ditemukan di bawah runtuhan. Seramai 184 lagi cedera.
Angka ini tidak termasuk mangsa di wilayah Gaza utara, yang sehingga kini masih belum dapat dikenal pasti ekoran akses ke hospital yang terputus sepenuhnya akibat pertempuran sengit.