Sidang khas pada 5 Mei adalah permintaan PM – Parlimen

Sidang khas Dewan Rakyat pada 5 Mei ini bagi membincangkan kesan tindakan Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi Malaysia diadakan atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Parlimen Malaysia memaklumkan, urusan mesyuarat khas itu diadakan selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan isu-isu semasa yang mendesak dan memberi manfaat kepada rakyat dibincangkan.
Ia akan membabitkan penerangan daripada menteri-menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berkaitan tindakan AS mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara itu, kesannya terhadap ekonomi Malaysia, dan tindak balas kerajaan merentasi pelbagai kementerian dan sektor.
Hal ini termasuk penyelarasan penyelesaian jangka pendek dan sederhana, semakan semula dasar-dasar industri tertentu, dan perancangan jangka panjang ekonomi negara dalam menghadapi impak perang perdagangan antarabangsa.
Siaran langsung sidang khas Dewan Rakyat yang bermula pada jam 11 pagi itu boleh diikuti menerusi saluran YouTube rasmi Parlimen Malaysia.