Siti Nurhaliza: Saya nyanyi secara sukarela, bukan dibayar KKM

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan dakwaan beliau menerima bayaran untuk membuat persembahan di majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.
Menerusi kenyataan di Instagram, Siti menjelaskan bahawa kehadirannya adalah sebagai tetamu, bukan artis undangan rasmi. “Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM, atas kerelaan hati dan tanpa sebarang bayaran,” katanya.
Penyanyi tersohor itu turut kesal namanya dipetik dalam laporan yang mendakwa beliau dibayar untuk menyanyi. “Saya tak mahu lebih ramai terus menyebarkan fitnah. Saya datang sebagai tetamu, bukan untuk mencari bayaran,” tegasnya.
Tambah beliau, penjelasan ini penting agar nama dan gambarnya tidak dikaitkan dengan laporan tidak sahih.
Berdasarkan perkongsian Facebook Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, antara artis lain yang turut hadir termasuk Datuk Jamal Abdillah.