Sorakan ‘Vel Vel’ seolah perlekeh sambutan Thaipusam? Era FM perlu minta maaf – Saravanan

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengecam keras dan menuntut permohonan maaf daripada saluran radio Astro, Era FM yang memuat naik kandungan video sensitif yang menghina perayaan agama Hindu.
Saravanan dalam satu kenyataan berkata, tindakan yang tidak menunjukkan rasa hormat tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan dalam masyarakat yang berbilang kaum.
Tegas Saravanan, ia bukan sahaja satu isu yang mempamerkan kebodohan, tetapi ia juga merupakan penghinaan yang cukup ketara terhadap kepercayaan dan tradisi penganut agama Hindu di Malaysia.
Susulan itu, Saravanan menuntut kerajaan supaya mengambil tindakan segera atas kelakuan yang tidak bermoral itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga diseru agar tidak memandang sebelah mata hal itu dan setiap masyarakat India menuntut supaya saluran radio tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua agama Hindu di Malaysia.
Terdahulu, tular sebuah video daripada akaun media sosial Era FM yang memuat naik kandungan sensitif yang memperlihatkan penyampai radio bersorak dan menari seolah-olah memperlekeh tarian Kavadi yang dilakukan sewaktu perayaan Thaipusam bulan lalu.