Statistik dedah penjawat awam paling ramai terima rasuah

Sejak 2015 hingga 30 Jun 2025, seramai 4,896 orang ditahan kerana menerima rasuah manakala 1,689 orang ditangkap kerana memberi rasuah, menurut data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Daripada jumlah itu, penjawat awam mencatat angka tertinggi dengan 2,965 tangkapan, jauh mengatasi pekerja sektor swasta (1,101), orang awam (680), kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (119) dan ahli politik (31).
Mengikut pecahan kaum, statistik yang didedahkan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said mendapati, Melayu kumpulan paling ramai ditahan kerana menerima rasuah, iaitu 3,690 orang.
Diikuti kaum Cina (494), lain-lain (449) dan India (263). Bagi kes memberi rasuah pula, paling ramai ditahan ialah orang Cina (630), diikuti lain-lain kaum (518), Melayu (390) dan India (151).
Statistik juga menunjukkan golongan berusia 40 tahun ke bawah paling banyak terjerumus, iaitu 2,603 orang bagi kes terima rasuah dan 981 bagi kes beri rasuah.