Stereng lori gagal berfungsi punca nahas ragut 9 nyawa anggota FRU

Kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca tragedi ngeri yang meragut nyawa 9 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam nahas jalan raya membabitkan trak dinaiki mereka dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampam, pagi Selasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, insiden berlaku ketika trak FRU Unit 5 yang membawa 18 anggota dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan sempena perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
Beliau berkata, lapan anggota FRU disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Teluk Intan.
Enam anggota cedera parah dan empat lagi mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, pemandu lori yang terlibat dalam nahas telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.