Sebanyak 300 cermin mata secara percuma diberikan kepada golongan pelajar yang memerlu, menerusi Program PERNAS Prihatin Sumbangan Cermin Mata Focus Point di Parlimen Sungai Buloh hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan dan Usahawan Datuk Ramanan Ramakrishnan yang juga merupakan ahli Parlimen Sungai Buloh, berkata program ini bertujuan membantu golongan yang memerlukan di kawasan Sungai Buloh di mana sebanyak 300 cermin mata diberikan kepada golongan pelajar daripada sekolah-sekolah di sekitar Sungai Buloh iaitu SMK Rahman Putra, SJK (T) Bukit Darah dan SJK (C) Subang.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) melaksanakan aktiviti CSR itu bersama Focus Point melalui Program PERNAS Prihatin.
Difahamkan, pada tahun ini sahaja PERNAS telah melaksanakan pelbagai program CSR termasuklah Program Sinar Ramadan, Program Kampung Angkat MADAN!, Sumbangan Bantuan Persekolahan dan bantuan wang tunai kepada pengamal- pengamal media.
Manakala, Focus Point pula telah melaksanakan 18 program CSR iaitu dengan pemeriksaan mata percuma kepada lebih 10,000 pelajar dalam negara.