Suspek pecah rumah langgar anggota polis hingga maut ada 77 rekod jenayah

Seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah yang mempunyai 77 rekod jenayah ketika cuba menghalang cubaan melarikan diri suspek kes pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar, petang Khamis.
Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari JSJ IPK Kedah, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan dipandu salah seorang daripada empat suspek.
Suspek terbabit dipercayai sebahagian daripada kumpulan jenayah aktif yang bergerak antara negeri, dengan kesemua anggotanya mempunyai puluhan rekod lampau termasuk kes pecah rumah dan curi kenderaan.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, pihak polis yang menerima maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan terus menyerbu lokasi dan mendapati suspek sedang mencuri peti besi.
Ketika cuba menahan mereka, suspek bertindak agresif dengan merempuh mangsa menggunakan kereta jenis Lexus.
Tiga suspek melarikan diri, termasuk mencuri sebuah lagi kenderaan awam, namun berjaya diberkas kurang sejam kemudian di Jitra. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan 457 Kanun Keseksaan.