Suspek ragut ditahan tak sampai 24 jam di Kota Bharu, enam laporan kes selesai

Seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Ego Gear merah ditahan polis kurang 24 jam selepas disyaki meragut beg tangan seorang wanita di kawasan parkir Lotus Lembah Sireh, Kota Bharu.
Kejadian berlaku sekitar jam 7.30 malam Ahad lalu menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM220.
Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, pasukan dari Balai Polis Kota Bharu berjaya menahan suspek sekitar jam 9 pagi Selasa.
Polis turut merampas sebuah motosikal, sehelai baju-T kelabu dan seluar panjang hitam yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah tersebut.
Siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dalam lima lagi kes ragut di sekitar Kota Bharu. Ujian air kencing terhadap lelaki itu pula menunjukkan keputusan negatif dadah.
Polis memohon perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Kota Bharu pada hari sama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Dengan penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes ragut yang dilaporkan di daerah berkenaan.