Syarat deposit sewa sulitkan keadaan mangsa di Putra Heights – Saifuddin

Syarat bayaran deposit sewa dua hingga tiga bulan yang dikenakan oleh tuan rumah dilihat kurang munasabah dan hanya menyulitkan keadaan mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, mangsa yang sudah pun dilanda musibah perlu berdepan dengan kesulitan lain apabila tuan rumah sewa meminta bayaran deposit yang tinggi.
Sementara itu, Saifuddin memberitahu, menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 443 urusan penggantian dokumen mangsa.
Katanya, ia meliputi 172 urusan penggantian kad pengenalan, sijil lahir (249), sijil perkahwinan (7), sijil kematian (1) dan dokumen lain yang musnah akibat insiden tersebut.
Setakat ini, beliau memberitahu, 361 mangsa dari 95 keluarga masih berlindung di PPS itu.
Polis Selangor secara keseluruhan menerima 755 laporan daripada mangsa yang terjejas dan kesemua laporan yang diterima membabitkan kerosakan rumah, kenderaan dan kecederaan.