Syarikat pengendali bas Cepat Express ada 540 saman, majoriti pandu laju – MOT

Cepat Express Sdn Bhd mencatatkan jumlah saman tertunggak paling tinggi dalam kategori pengendali bas ekspres dengan 540 saman aktif majoritinya melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju.
Ia sekali gus meletakkan syarikat itu di bawah radar pemantauan ketat oleh pihak berkuasa.
Pendedahan ini dibuat oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai langkah tegas menangani sikap sambil lewa syarikat pengangkutan terhadap keselamatan jalan raya.
Sebanyak 17 syarikat pengendali bas ekspres dikenal pasti mempunyai lebih 200 saman tertunggak, manakala 11 syarikat pengendali kenderaan barangan pula direkodkan dengan lebih 1,000 saman.
Antara syarikat barangan yang tersenarai ialah KDEB Waste Management Sdn Bhd dengan 22,017 saman, Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108), AdvanceCon Machinery (3,620) dan VK Transport (3,016).
Kesalahan melibatkan isu teknikal seperti brek dan tayar tidak mengikut spesifikasi, pengubahsuaian tanpa kelulusan serta tiada lesen atau insurans yang sah.
MOT memberi tempoh 14 hari kepada semua syarikat terlibat untuk melunaskan saman tertunggak di mana-mana pejabat JPJ.
Kegagalan berbuat demikian akan mengundang tindakan keras termasuk menyenarai hitamkan kenderaan serta merta.