Syerleena gesa kerajaan gubal undang-undang, henti diskriminasi kaum untuk sewa rumah

Gesaan kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang khusus bagi melarang diskriminasi kaum dalam sektor penyewaan rumah dibuat oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Beliau ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan iklan sewa rumah yang menggunakan frasa seperti ‘Melayu sahaja’, ‘Cina sahaja’ atau ‘India tidak dibenarkan’ yang mencerminkan realiti diskriminasi yang berleluasa.
Sebelum ini, Syerleena menerusi temu bual bersama Telus Malaysia pada 30 Julai lepas menegaskan bahawa diskriminasi perkauman menerusi mana-mana iklan sewaan rumah perlu dihentikan serta-merta.
Tambah Syerleena, kenaikan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi telah menjadikan penyewaan sebagai pilihan utama golongan muda berbanding pembelian hartanah yang semakin tidak mampu milik.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Akta Penyewaan Kediaman dikaji semula dan diperkukuh bagi mengelakkan diskriminasi serta memastikan hubungan yang profesional antara tuan rumah dan penyewa.