“Tak tahu cara pakai”, jam RM3 juta Ahmad Sahroni dikembalikan

Jam tangan mewah Richard Mille bernilai sekitar Rp11.7 bilion (RM3 juta) milik anggota DPR Indonesia dari Parti NasDem, Ahmad Sahroni, dikembalikan selepas dilaporkan hilang dalam serbuan di kediamannya di Tanjung Priok, Jakarta Utara, pada 30 Ogos lalu.
Rakaman pemulangan jam itu dimuat naik di Instagram, memaparkan seorang wanita dipercayai ibu kepada individu yang mengambilnya.
Beliau pada masa sama mengakui jam tersebut bukan milik mereka dan tidak tahu cara menggunakannya.
Serbuan ke atas rumah Ahmad Sahroni berlaku ketika orang awam menceroboh serta merosakkan harta benda, dipercayai berpunca daripada kenyataan kontroversinya yang menghina warga serta peserta demonstrasi bawah umur.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Metro Jakarta Utara, Kompol Onkoseno Grandiarso Sukahar, mengesahkan siasatan masih dijalankan dan belum ada tangkapan dibuat.