Takkan hilang Ronaldo di dunia

Takkan hilangnya nama Ronaldo di arena bola sepak selepas anak lelaki kepada bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo menerima panggilan mewakili skuad bawah 15 tahun Portugal.
Penyerang berusia 14 tahun itu, yang kini menjalani latihan di akademi belia Al-Nassr di Arab Saudi, akan menyertai skuad Portugal untuk kejohanan di Croatia pada bulan ini, berdepan Jepun, Greece dan England dalam penampilan pertamanya di pentas antarabangsa.
Ronaldo, 40, yang memuat naik di akaun media sosial rasminya meluahkan rasa bangga terhadap anaknya sambil berkongsikan pengumuman senarai pemain.
Ronaldo Jr mula menempa nama dalam dunia bola sepak di peringkat kelab dengan bermain untuk pasukan belia di Real Madrid, Juventus dan Manchester United sebelum berpindah ke Arab Saudi.
Remaja itu telah menjaringkan 58 gol semasa di Itali, dan beberapa klip video menunjukkan Ronaldo Jr meraikan gol dengan gaya ikonik ‘Siu’ seperti bapanya di Al-Nassr telah tular di media sosial.
Sebelum ini, Ronaldo dilaporkan berkata anaknya berhasrat untuk berkongsi padang dengannya suatu hari nanti.