Taman Tema Disneyland ketujuh bakal dibina di Abu Dhabi

The Walt Disney Company dan Miral, syarikat industri hiburan di Abu Dhabi, pada Rabu mengumumkan rancangan untuk membina sebuah taman tema dan resort Disney baharu di Pulau Yas.
Ia sekali gus bakal menjadikannya destinasi global ketujuh Disney dan yang pertama di Timur Tengah yang mana resort itu akan ditempatkan di kawasan tepian air pulau berkenaan.
Ia akan menggabungkan kisah serta watak ikonik Disney dengan kekayaan warisan budaya dan seni bina moden Abu Dhabi, lapor agensi berita Jerman dpa.
Ia juga bakal menjadi hab hiburan keluarga global yang mana pasukan Disney Imagineers akan menerajui reka bentuk kreatif dan menyediakan pengawasan operasi.
Destinasi tersebut akan menampilkan tarikan bertema, restoran dan kedai, serta penginapan yang diinspirasikan daripada penceritaan Disney.