Tanah Jerlus: Empat buah rumah terjejas di Batu Gajah
Kuala Lumpur, Sept 29 – Insiden tanah jerlus berlaku susulan hujan lebat tanpa henti yang turut menjejaskan empat buah rumah di Taman Teja, Tanjung Tualang,Batu Gajah semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian itu melibatkan mendapan tanah yang berlaku di hadapan empat buah rumah di Lorong Teja Utama, taman berkenaan.
“Rumah nombor 11 dan 15 berlaku mendapan pada bahagian garaj manakala nombor 9 dan 17 sedikit terjejas pada bahagian tepi dan depan rumah akibat hujan lebat.
“Bagaimanapun, ia tidak melibatkan struktur dan kemalangan mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, pasangan suami isteri yang terlibat telah berpindah ke rumah ibu mereka manakala wanita dewasa masih tinggal di rumahnya, namun polis menasihatnya supaya menggunakan pintu belakang sahaja.