Tanpa kira bangsa dan agama, himpunan ‘Malaysia Bangkit Untuk Gaza’ pada Sabtu 9 Ogos untuk semua
Pertubuhan bukan kerajaan Humanity for Gaza (H4G) akan menganjurkan program “Malaysia Bangkit Untuk Gaza” pada Sabtu 9 Ogos sebagai seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk berhimpun bersama tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang.
Pengarah H4G, Datuk Mohd Apandi Mohamad berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan dan keji yang mengorbankan lebih 60,000 penduduk Gaza itu perlu mendapat tekanan yang berterusan daripada ramai pihak.
Tegasnya, himpunan yang bakal diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bermula jam 4 petang itu turut mendapat sokongan penuh semua pimpinan parti politik tanah air dan menjangkakan kehadiran ratusan ribu peserta.
Selain tuntutan menghentikan segera kekejaman rejim Israel, himpunan itu turut menyeru semua pihak memutuskan segala bentuk hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel serta sekutu-sekutunya.
Ia termasuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan komuniti antarabangsa bertindak tegas serta berkesan terhadap kekejaman yang berlaku.
Usaha ini turut ditekankan lagi susulan sekatan bantuan yang dilakukan oleh Israel yang kini mengakibatkan jumlah kematian akibat kebuluran meningkat dan konvoi bantuan yang dijadikan sasaran pengeboman.
Setakat ini, data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 1,373 rakyat Palestin terbunuh ketika mencari makanan sejak 27 Mei.
Ia termasuk 859 kematian berhampiran pusat pengagihan GHF dan 514 di sepanjang laluan konvoi makanan, kebanyakannya akibat tembakan tentera Israel.
H4G turut menyeru seluruh rakyat dari serata negara, dari pelbagai bangsa, agama dan generasi untuk hadir dan bersama-sama menyuarakan solidariti pada 9 Ogos ini demi memperkasakan semula hak kemanusiaan.