Tengku Zafrul belum hantar permohonan ahli PKR

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk menyertai parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, menjelaskan semua permohonan keahlian perlu dibuat secara dalam talian dan akan melalui proses semakan sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman Tengku Zafrul baru-baru ini mengenai peletakan jawatan dalam UMNO dan hasratnya untuk menyertai PKR, selepas menilai kesesuaian perjuangan politiknya.
Menurut Fuziah, permohonan tersebut akan diteliti secara adil, termasuk mengambil kira pandangan dari rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta akar umbi parti.
Beliau turut memaklumkan bahawa Tengku Zafrul kini sedang bersiap untuk menunaikan ibadah haji dan mendoakan agar beliau mendapat haji yang mabrur.