Terbeban hutang e-dagang punca suami kelar isteri di P.Pinang

Seorang guru lelaki berusia 30 tahun dipercayai bertindak mengelar isterinya akibat bebanan hutang dalam kejadian di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati suspek membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham selain menanggung ansuran barangan melalui platform e-dagang.
Beliau menegaskan, suspek tidak mempunyai hutang dengan peminjam wang tanpa lesen sebaliknya semua pinjaman dibuat melalui institusi kewangan sah.
Pertengkaran pasangan itu dipercayai berpunca daripada masalah hutang, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Mangsa yang berusia 28 tahun kini dilaporkan stabil dan sedang dalam pemulihan.
Suspek pula ditempatkan di Wad Psikiatri Hospital Jalan Perak untuk pemeriksaan kesihatan mental selepas turut mengalami kecederaan parah akibat mengelar diri sendiri.