Terlalu ramai miskin bandar, kerajaan perlu labur lebih banyak di Pantai Timur – Yuneswaran

Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran menggesa kerajaan agar menyalurkan lebih banyak pelaburan ke negeri-negeri luar bandar terutamanya di Pantai Timur bagi mengurangkan migrasi belia ke bandar besar dan mengatasi isu miskin bandar yang semakin ketara.
Menurutnya, ramai graduan universiti menjadi sebahagian daripada golongan miskin bandar kerana terpaksa berhijrah ke ibu kota demi mendapatkan pekerjaan, walaupun dengan gaji rendah dan kos sara hidup yang tinggi.
“Angka miskin bandar ini terlalu tinggi, terutamanya dalam kalangan graduan baru. Bila ramai ke bandar, kerajaan pula terpaksa tanggung bantuan, sedangkan kawasan luar bandar terus rasa ketinggalan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pelaburan besar yang diumumkan kerajaan, termasuk yang sudah dimeterai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tidak difokuskan ke negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Perlis yang sering menjadi punca utama migrasi ke Lembah Klang.
Yuneswaran mencadangkan pembukaan kilang-kilang besar di negeri berkenaan sebagai langkah menangani ketidakseimbangan pembangunan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan di luar bandar.
“Pasaran kerja sekarang semakin sempit dan jadi rebutan. Bila terlalu ramai ke bandar, gaji rendah pun orang sanggup ambil sebab permintaan tinggi,” katanya.
Beliau menegaskan, hanya dengan pelaburan yang lebih seimbang ke seluruh negara, khususnya ke negeri luar bandar, barulah kerajaan dapat menangani beban sosial dan ekonomi akibat kepadatan penduduk di bandar.