Tertekan disuruh belajar, pelajar SPM disyaki tikam ibu dan abang hingga maut

Akibat tekanan emosi kerana sering disuruh belajar lebih tekun bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, seorang pelajar Tingkatan Lima bertindak di luar kawalan apabila disyaki membunuh ibu dan abang sulungnya dalam kejadian tragis di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu mengorbankan ibu suspek yang juga seorang guru berusia 51 tahun, serta abang sulungnya, 21 tahun.
Kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan tikaman di ruang tamu rumah. Seorang lagi adik lelaki suspek berusia 13 tahun turut cedera selepas ditikam, dan kini dirawat di Hospital Melaka.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyerang ibunya di dalam bilik tidur, sebelum abangnya cuba campur tangan namun turut menjadi mangsa tikaman.
Suspek dikatakan turut cuba menyuruh adik bongsunya keluar dari rumah, namun apabila enggan, adik itu turut ditikam sebelum berjaya melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah.
Polis turut menemui pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam serangan, disimpan dalam beg sekolah suspek, manakala pakaian berdarah dibuang ke semak berhampiran.
Suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman di Mahkamah Ayer Keroh bagi membantu siasatan.