Thambirajah, pejuang sektor pendidikan komuniti India meninggal dunia

Pengasas Pusat Pendidikan Sri Murugan, Profesor Tan Sri Dr. M. Thambirajah, dilaporkan meninggal dunia pagi Isnin pada usia 82 tahun.
Mendiang yang dilahirkan pada tahun 1942 difahamkan telah mengalami masalah kesihatan sejak beberapa hari lepas.
Merupakan pesara pensyarah dan profesor di Universiti Malaysia, mendiang menabur bakti dalam sektor pendidikan dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Sri Murugan pada tahun 1982.
Malah, mendiang juga merupakan di antara yang pernah menulis buku teks Sejarah untuk pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dianugerahkan gelaran Datuk dan Tan Sri oleh kerajaan, selain menerima anugerah Pravasi Bharatiya Samman daripada Presiden India atas dedikasi dan sumbangannya untuk pendidikan.
Penghormatan terakhir akan dilakukan pada Selasa bermula jam 10 pagi hingga 2 petang di Sri Murugan Ashram, Petaling Jaya.
Mendiang akan dikebumikan di Nirvana Setia Alam pada jam 3 petang, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Sri Murugan Centre, Sureyn Kanda.