Tiada lagi subsidi telur ayam bermula 1 Ogos

Kerajaan memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa Khamis, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya.
Keputusan dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
KPKM menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk menyasar semula subsidi telur ayam dibuat dengan mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.