Tiada pembeli, EV buatan China tutup kedai selepas kurang 3 bulan bertapak di Singapura

Neta, jenama kenderaan elektrik (EV) dari China, menutup ruang pamerannya di One Commonwealth, Singapura, hanya beberapa bulan selepas pelancarannya di Singapore Motorshow 2025.
Menurut laporan media Singapura, hanya empat unit kenderaan yang telah berdaftar di Singapura, dengan dua unit terakhir didaftarkan pada Januari lepas.
Bagaimanapun, kesemua kenderaan yang didaftarkan itu dipercayai milik Evology Automobile iaitu syarikat yang membawa masuk jenama tersebut ke Singapura.
Neta dimiliki oleh Hozon New Energy Automobile dari Shanghai, yang kini dilaporkan hampir muflis selepas kegagalan mendapatkan dana 4 bilion yuan.
Jualan syarikat itu merosot 98 peratus pada Januari 2025, dan proses pengeluaran sudah pun dihentikan di kilang Zhejiang.
Sejak 2021 hingga 2023, Neta mencatatkan kerugian 17.2 bilion yuan sekali gus jelas mencerminkan bahawa jenama itu gagal untuk bersaing dengan syarikat EV dari China yang lain seperti BYD.