Tiga beranak tercampak selepas motosikal dilanggar Myvi di Klang

Tiga beranak cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan empat Jalan Dato Hormat-Jalan Rahmat, Pulau Indah, sekitar jam 7.16 pagi Selasa.
Mangsa berusia antara 8 hingga 43 tahun itu menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki tiga beranak itu sedang melalui laluan utama menuju ke Jalan Dato Harun apabila dirempuh sebuah Perodua Myvi yang didakwa tidak berhenti di persimpangan.
Akibat perlanggaran, penunggang tercampak ke atas bonet sebuah kenderaan lain manakala dua kanak-kanak tercampak ke atas jalan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa memaklumkan ketiga-tiga mangsa hanya mengalami kecederaan ringan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.