Tiga maut tersepit, Toyota Vios terbabas di lebuhraya susur keluar Balakong

Tiga lelaki maut akibat cedera parah selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara, berhampiran susur keluar Balakong, awal pagi Jumaat.
Semua mangsa yang mengalami kecederaan parah serta tersepit dalam kereta Toyota Vios dikeluarkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum disahkan meninggal dunia.
Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Shahrum Din, berkata pusat gerakan operasi menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 5.57 pagi.
Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi termasuk bantuan BBP Bukit Jalil membabitkan 10 anggota dikejarkan ke lokasi dan pihaknya mengambil masa satu jam untuk membawa kesemua mangsa keluar.
Shahrum berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
Operasi ditamatkan pada 7.29 pagi dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.