Tiga termasuk kanak-kanak maut dalam nahas di Jalan Kuantan-Seremban

Tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala empat lagi cedera selepas kereta dinaiki enam sekeluarga bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 142 Jalan Kuantan-Seremban, berhampiran Bukit Serok, Bandar Tun Abdul Razak, petang Ahad.
Kemalangan berlaku ketika kereta berkenaan dalam perjalanan dari Bahau menuju Muadzam Shah.
Seorang wanita maut di lokasi akibat tersepit, manakala seorang wanita berusia 18 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.
Empat lagi mangsa termasuk pemandu pacuan empat roda cedera dan sedang dirawat, manakala mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas serta hubungan semua mangsa.