Malaysia
Tikam diri sendiri, reka cerita disamun dan pakai duit majikan RM3,000

Seorang pemandu lori makanan beku sanggup menikam perutnya sendiri dengan pisau sepanjang 22.5 sentimeter bagi menutup tindakan menggunakan wang syarikat berjumlah RM3,000 untuk kegiatan judi.
Lelaki tempatan berusia 32 tahun itu pada awalnya mendakwa disamun tiga lelaki ketika berada di Jalan Minden 1, George Town kira-kira jam 7.45 malam, Khamis lalu.
Dia ditemui cedera dalam lori sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang.
Namun siasatan polis mendapati kejadian samun itu direka semata-mata bagi mengaburi majikan. Luka tikaman di perutnya sedalam kira-kira 3.5 sentimeter.
Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana ia kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.