Tindakan Pemilik Restoran Muslim Beri Makan Anjing Liar Raih Sokongan dan Kecaman
Pemilik restoran Muslim, Salai Star, menerima pujian dan kritikan selepas memberi makan anjing liar, dengan segelintir pihak mengancam memboikot perniagaannya.
Dalam video TikTok, beliau menyatakan kekecewaannya terhadap mesej kebencian yang diterima kerana tindakannya. Pemilik itu menjelaskan bahawa semua haiwan adalah ciptaan Tuhan dan sebagai pencinta haiwan, beliau tidak akan ragu membantu makhluk memerlukan.
“Saya juga memberi makan monyet, burung, dan ada lebih 50 kucing terbiar di rumah. Jangan rosakkan perniagaan saya, saya perlu menjaga mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan merakam video bersama haiwan hanyalah hobi, bukan untuk menunjuk kebaikan. “Saya guna duit sendiri untuk merawat haiwan yang cedera,” tambahnya.
Pemilik itu juga memastikan lebihan makanan dari restorannya tidak dibazirkan dan digunakan untuk memberi makan haiwan liar.
Walaupun menerima kritikan, ramai yang memuji usaha murninya, malah ada yang ingin menyokong dengan mengunjungi restorannya.