
Kerajaan digesa mengambil langkah proaktif susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pemakaian fatwa terhadap sebuah organisasi berdaftar, yang dikhuatiri boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Amidi Abdul Manan, walaupun keputusan itu tidak menjejaskan semua fatwa secara keseluruhan, ia tetap memberi kesan besar terhadap fungsi institusi fatwa yang sepatutnya menjadi panduan kepada masyarakat Islam.
Isu ini timbul susulan kemenangan rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) di Mahkamah Persekutuan terhadap fatwa pihak berkuasa agama Selangor yang sebelum ini mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.
Panel hakim tertinggi negara memutuskan bahawa fatwa tidak boleh dikuatkuasakan terhadap organisasi berdaftar dan institusi, sekali gus mengetepikan keputusan dua mahkamah lebih rendah sebelum ini.
Amidi turut memberi peringatan bahawa keputusan tersebut berpotensi menjejaskan kepercayaan umum terhadap sistem perundangan negara dalam menjamin kedudukan dan kedaulatan undang-undang syariah, khususnya apabila wujud ketegangan antara bidang kuasa sivil dan syariah.