Tular remaja serah diri selepas kantoi curi sos, mayonis di pasar raya

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tular dipercayai mencuri di sebuah pasar raya di Jempol ditahan selepas hadir ke IPD Jempol bersama keluarganya petang tadi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, remaja itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.
Kejadian dilapor berlaku pada 11 Julai lalu kira-kira jam 7 malam, apabila suspek ditahan pekerja pasar raya kerana dilihat kerap keluar masuk membawa beg sandang.
Pemeriksaan menemui dua paket sos lada hitam dan dua paket mayonis yang belum dibayar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.
Terdahulu, tular video hampir empat minit memaparkan remaja itu mengendong adiknya sambil diarahkan seorang pekerja wanita pasar raya supaya tidak keluar dari premis berkenaan.