Tun Mahathir keluar dari IJN petang semalam

Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan telah keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) petang Ahad selepas dimasukkan pada sebelah pagi akibat keletihan.
Bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke IJN sekitar jam 10 pagi dan dibenarkan pulang pada jam 5 petang.
Menurut kenyataan daripada Kelab Che Det, Dr Mahathir hanya mengalami kepenatan ringan dan kini dalam keadaan baik.
Terdahulu, Dr Mahathir menghadiri program ‘Picnic & Potluck’ di Tasik Putrajaya bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada 10 Julai lalu, serta ulang tahun ke-99 isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 12 Julai.
Beliau tiba jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal ‘tandem’ sejauh hampir sembilan kilometer.
Namun selepas tamat kayuhan, beliau kelihatan keletihan, duduk berehat seketika sebelum menuju ke meja sarapan.
Dr Mahathir kemudiannya beredar lebih awal sebelum sempat meluangkan masa bergambar bersama orang ramai.